Peristiwa Malam Jumaat...
Selalunya aku dengar dari mulut-mulut orang..
Selalunya aku tersepit antara mahu percaya atau pun tidak..
Selalunya hanya mata aku yang berat memandang..
Selalunya aku hanya mendoakan untuk yang jauh..
Dan semalam..
Malam Jumaat..
Aku melaluinya sendiri..
Aku sendiri menjadi saksinya..
Aku sendiri menyaksikan keperitan dia melawan syaitan laknatullah..
Sesudah solat Asar, dia kaku.. Teguran aku sikit pun tak dipedulikan. Jantung aku dah mula berdegup kencang. Hati berkata ya, naluri berkata tidak. Antara mahu menerima hakikat itu ataupun terus-terusan menjadi pengecut. Aku tahu dia sakit... aku tahu aku bakal berdepan dengan masalah. Aku menelefon mamanya. Ditahan hati yang sebak tapi sudahnya aku menangis teresak-esak.
Along [sepupu] kata dia dalam perjalanan ke Cyber. Hanya Along yang boleh diharap. Hanya Along tau rawatannya.
Setiap minit yang berlalu macam terlalu lambat! Aku dan housemates berhempas pulas bergelut dengannya. Ketika Yasin dibacakan, dia mula melawan. Ditendang segala barang yang ada. Dia cuba bangun menuju ke tingkap, ingin terjun. Kederat perempuan kami diuji habis-habisan. Aku dan tiga yang lain bergelut menahannya.. Dia semakin marah, semakin liar. Dia menjeling tajam setiap anak mata kami.. Astaghfirullahalazim.. hanya kekuatan iman yang kami tuntut!
Mamanya menelefon aku memberitahu apa yang harus dibuat. Aku ambil garam yang dia simpan, aku bancuh dan aku beri dia minum. Aku sapu di mukanya.. di kukunya. Dia meronta-ronta sakit. Memegang-megang leher yang bagai dicekik, menekan-nekan dadanya, jantungnya dirasakan bagai ditikam-tikam. Dia meraung kepanasan. Kakinya bagai dibakar. "Kak Ayu.. panas! Kaki.. panas!" Dia berbisik keras. Ya Allah.. seksanya saudaraku.
Surah Yasin dibaca beramai-ramai. Azan dan Iqamat dilaung entah berapa kali. Ayat Kursi tak pernah putus. Aku yang merangkul dia di bahu dan pinggang ditendang entah berapa kali. Telekungku direntapnya marah. Perasaan aku bercampur baur. MARAH! Aku merenung dia.. aku cuba menangkap bayangan syaitan itu. Ingin sahaja aku rejam semahu-mahunya. Semoga Kau laknat si kafir itu, ya Allah!
Tiba azan Maghrib, dia semakin menggila. Kudrat kami yang hanya saki-baki tinggal semakin tak berdaya. Kami minta bantuan lelaki. Kami menelefon ustaz di kampus. Menunggu Along yang tersekat di trefik jem di Gombak buat aku semakin marah.
Dia pengsan. Kemudian tersedar dan mengamuk lagi. Dan pengsan lagi. Berselang-seli. Dalam waktu dia terseksa, dia sempat berbisik di telinga aku sambil menangis memohon maaf kerana menyusahkan kami semua. Ya Allah...
Dia kembali meraung. Menjerit memaki kami. "Siapa kau?! Dia hak aku! Jangan kacau aku! Dia hak aku!" Suara lembutnya bertukar menjadi parau. Entah mana datangnya keberanian kami, kami memakinya kembali. Menjawab setiap tengkingannya. Sekuat yang boleh. Lahanat itu marah, kami berganda lagi marah!
Aku lesu. Sakit ditendang.. sakit dicengkam dan dicakar. Habis tenaga melawan kudrat syaitan itu.. Datang kawan-kawan lelaki, aku keluar dari bilik itu yang panas menggila. Aku menangis semahu-mahunya. Hebatnya dugaan ini, Ya Allah...
Ustaz datang. Aku ikut dia dari belakang. Ketika itulah, jubin lantai retak dan merekah. Nauzubillah...
Mata aku mula berpinar. Aku tau aku nak tumbang. Dada aku sesak. Aku keluar dari bilik tu. Terpaksa mencari ketabahan.. Aku taknak menambah masalah. Aku tahu semangat aku dah hilang. Aku betul-betul letih. Dua orang teman rumah aku suruh aku berehat. Jari aku menggeletar. Badan aku pun. Sekali-sekala terdengar jeritan dia dari tingkat atas buat dada aku makin berombak. Aku dah tak mampu masuk ke bilik tu. Telekung aku pun dah lenjun kena air masak, air garam dengan air mata.
Along datang. Aku membebel sebab lewat. Along sekadar tersenyum. Cis! Along masuk ke bilik kosong.. memulakan bacaan. Gelagat Along seperti sedang bersolat. Along menuju ke bilik itu. Aku dengar jeritannya semakin kuat dan menakutkan. Aku tahu benda itu sedang diseksa Along. Hati ingin melihat, tapi aku tau nanti aku pengsan.
Along turun, sambil meneruskan rawatan. Aku tengok Along mencapai handphone. Aku tak pasti dia bercakap dengan siapa, tapi Along cakap Along tak boleh lawan benda tu. Dada aku macam nak pecah pun ada.
Ibu telefon aku..entah kali ke berapa. Kali pertama dia call, dia seolah-olah tahu aku sedang dalam masalah besar. Naluri ibu terlalu kuat. Aku cerita hal itu. Ibu terkejut.. hanya mampu mengucap panjang. Aku mengadu ingin balik esok [anak manje, biase ah]. Aku ceritakan pada ibu setiap apa yang berlaku.. Aku dapat panggilan dari abangku siang itu... tapi Along senyap je, tak bercakap.. aku panggil-panggil Along.. tiba-tiba aku dengar ada bisikan keras. Aku terkedu. Aku tanya siapa.. dan aku letak. Aku tahu itu bukan Along. Along telefon lagi, aku jawab. Kali ni, Along bercakap macam biasa. Nak aku tanya, samada Along ada menelefonku sebelum itu, tapi suara aku tersekat. Risau. Aku seolah-olah tahu jawapannya. Ketika tu lah aku nangis lagi.. Seram sejuk. Ibu pujuk aku.. dia bacakan ayat-ayat yasin. Aku tau ibu juga panik.
Dalam pukul 11 malam, mamanya dan sedara mara yang lain tiba dari Ipoh. Aku menemani mama di ruang tamu. Mama tak boleh naik. Anaknya yang sedang kesakitan takut melihat mamanya sendiri. Dakwanya, benda itu sentiasa mengikut ke mana saja mama pergi. Dia jatuh sakit pun sebab dapat panggilan dari mama, tapi yang bercakap dengannya, bukan mama.. tapi benda itu. Kasihan mama..
Mama itu sungguh tabah. Diuji bermacam-macam dugaan.. sejak kecik sampai lah sekarang. Mama itu sangat cekal. Hanya Allah tempat dia mengadu. Aku kagum dengan dia.
Tak lama selepas rawatan, dia ok sikit. Badannya lemah. Dia sedar. Along cakap benda itu dah keluar tapi ada di tepi-tepi dia. Cuba ingin masuk balik. Kami cuba ceriakan dia.. buatkan hot chocolate dan meggi seperti yang dia inginkan. Dia sangat tabah.. mampu tersenyum dalam ketakutan.
Tiba masa dia untuk dibawa pulang, dia nangis. Dia tak mahu balik. Dia takut. Kami pujuk dia. Kami belai dia. Aku, Yana dan Along papah dia turun ke kereta. Dia ternampak mamanya. Dia menangis, meronta ketakutan. Mama lari menyorok. Sebaknya hati aku masa tu, ya Allah.
Dia masuk ke kereta Pak Ndak. Mama masuk kereta Along. Aku pujuk mama minta dia bersabar. Mama menangis. Terlalu berat dugaan itu untuk dia.
Malam tu, kami tidur beramai-ramai di hall. Yang lain tertidur keletihan, tapi tidak aku. Tak boleh terlena, pasti aku tersentak ketakutan. Seolah-olah aku tidak dibenarkan tidur. Menempuh saat-saat itu hinggalah jam enam pagi. Seksanya! Aku hanya mampu tidur selepas pukul 9 pagi. Masuk waktu Zohor, aku mandi.. solat.. dan baca Yasin.
Malam ni... mungkin aku tak tidur lagi.
p/s: doakan la semoga dia cepat sembuh...Amin.
No comments:
Post a Comment