Monday, January 03, 2011

Bala Yang Paling Dahsyat.


Bala bencana yang dahsyat kepada seorang hamba
Bukan ditimpa bencana alam
Seperti air bah, angin kencang, gunung berapi meletup, gempa bumi menggoncang
Tidak juga sakit yang teruk seperti barah yang garang
Bukan juga ditohmah dan difitnah
Juga bukan kerana susah tidak ada apa yang hendak dimakan dan diminum
Sekalipun ditangkap, dijel dan dipenjara
Bahkan dibunuh, itu bukan bala yang dahsyat
Tapi bala yang dahsyat itu ialah ditarik iman
Seperti selama ini syariat seseorang itu kemas, selepas itu cuai balik asal
Keyakinan yang kental kembali longgar
Sembahyang jemaah yang menjadi tradisi dicuai
Ibadah yang selama ini istiqamah
Sudah menjadi malas, culas, bahkan membuatnya terseksa
Hukum-hakam yang selama ini dipelihara dan dijaga dengan baiknya
Selepas itu sudah tidak diambil kira lagi
Anak isteri yang selama ini dididik sudah tidak dipedulikan
Pantang-larang Tuhannya kembali dilanggarnya
Takut kepada Tuhan tercabut dari hatinya
Halal haram sudah tidak diambil kira
Demi keuntungan dunia yang belum tentu mendapat untung
Pintu hatinya ditutup rapat-rapat
Kebenaran sudah tidak boleh diterima lagi
Jika diberitahu atau dinasihat sakit hatinya
Bahkan adakalanya bangga pula membuat kejahatan di hadapan kawan-kawan lamanya
Fikirannya dunia, mazmumah hatinya subur semula
Itulah dia bala bencana yang paling dahsyat
Selepas mendapatkan kebenaran dilepaskan semula
Setelah mendapat iman dibuang pula
Kita berlindung dengan Tuhan daripada bala tercabut iman



Credit : Cahaya Mukmin


No comments: